Pernah dengar tak kalimah ‘Baitul Muslim’?
Atau kadang-kadang orang ada sebut juga baitul dakwah dan sebagainya lah. Pernah dengar?
Saya dengar perkataan Baitul Muslim ini, semenjak saya berada di tingkatan 4. Masa itu, masih muda sangat lagi. Jadi, memang seronok kalau masuk bab-bab kahwin ini. Orang kata, perkara masa hadapan ni memang seronok kalau bincang. Lagi-lagi kalau masuk bab cinta-cinta ni.
Baitul Muslim yang membincangkan perihal hendak membina sebuah kehidupan berkeluarga yang diredhai ALLAH, pada awalnya saya anggap adalah satu konsep yang mengajar kita cara-cara memilih pasangan dengan baik. Saya nampak bahawa Baitul Muslim ini adalah satu konsep supaya lelaki perempuan tahu bercinta dengan betul. Saya yakin, ramai yang beranggapan seperti saya.
Tapi, bila saya membesar, rupanya anggapan saya itu silap.
Baitul Muslim hakikatnya bukanlah setakat berkenaan dua insan, yang satu lelaki dan yang satu lagi perempuan. Tetapi hakikatnya, Baitul Muslim itu lebih lagi dari sekadar hubungan dua insan. Baitul Muslim adalah salah satu tangga dari tangga-tangga ke arah pembinaan ummah yang diredhai ALLAH sebenarnya.
Masyarakat itu, terbentuk dari keluarga, keluarga itu terbentuk dari individu.
Sebab itu, Baitul Muslim ini bukanlah satu konsep menceritakan perihal cinta lelaki perempuan, atau cara memilih pasangan yang betul. Tetapi, Baitul Muslim adalah satu konsep untuk kita nampak keperluan wujudnya keluarga yang diredhai ALLAH, keperluan mencari isteri@suami yang diredhai ALLAH, keperluan mentarbiyah anak agar membesar dalam keredhaan ALLAH, seterusnya menjadikan keluarga kita keluarga contoh kepada masyarakat.
Dan semua itu, bukan bermula dari kita hendak mencari pasangan. Tetapi, itu semua bermula sedari saat kita berseorangan. Pengislahan diri, adalah permulaan ke arah pembinaan Baitul Muslim sebenarnya.
Hal ini, saya sedari ketika Cikgu Azmi Bahari, seorang guru di MATRI berkongsi pandangan berkenaan hal Baitul Muslim ini.
“ Perkara Baitul Muslim ini, bukanlah kita fikirkan bila hampir nak kahwin. Sepatutnya hal ini kita fikirkan semenjak kita remaja lagi. Sebab perkara ini bukan perkara kecil. Perkara ini perkara besar”
Ya. Sebab, Baitul Muslim bukannya fasal nak kahwin dengan siapa, nak kahwin macam mana. Baitul Muslim hakikatnya adalah projek hendak membina ummah. Maka, hendak membina ummah ini, perlu kita mulakan dengan diri sendiri.
Sebab itu, hal ini bukan untuk kita fikir ketika hampir kahwin. Kita perlu fikir semenjak kita remaja lagi.
Tapi ramai salah anggap. Mereka kata, mereka tidak mahu berfikir akan hal pembinaan keluarga ini kerana mereka tidak mahu masuk campur hal cintan cintun semasa belajar. Sebenarnya, anggapan bahawa Baitul Muslim adalah konsep cintan cintun adalah anggapan yang tertolak. Baitul Muslim, adalah konsep pembinaan ummah. Berfikir berkenaannya, bukanlah kita berfikir kita hendak kahwin dengan siapa, tetapi kita berfikir bagaimana kita hendak membinanya bermula dengan diri kita.
Kita perlu mulakan dengan diri kita sebenarnya. Keluarga yang diredhai ALLAH tidak akan mampu dibangunkan hanya dengan usaha suami sahaja atau isteri sahaja. Maka, hendak atau tidak, jika kita mahu membina keluarga yang diredhai ALLAH SWT, kita perlu mulakan dengan membina diri kita.
Kita perlu nampak bahawa, nanti bila kita hendak berkahwin, kita perlu menjadi contoh kepada pasangan kita. Manusia itu tidak sama. Jadi, perlu ada rasa hendak lengkap melengkapi. Kita perlu nampak bahawa kita hendak menjadi penyokong kepada pasangan kita. Jadi, menjadi tanggungjawab diri kita untuk membina dan memperbaiki diri sedari hari ini.
Emosi, cara pandangan, cara pemikiran, harta, akhlak dan sebagainya, sudah perlu kita fikirkan. Adakah kita mampu membina keluarga yang diredhai ALLAH jika kita seorang panas baran? Adakah kita mampu menyara kehidupan keluarga kita dengan baik tanpa wang yang mencukupi? Adakah kita mampu memandu keluarga kita ke arah yang diredhai ALLAH jika cara pandangan dan cara pandangan kita tidak matang? Adakah kita mampu mendidik anak jika akhlak kita tidak baik?
Semua itu menyebabkan kita perlu bergerak ‘membina’ Baitul Muslim semenjak hari ini. Bukanlah membina Baitul Muslim itu adalah dengan mencari pasangan mengikut ciri-ciri yang ditetapkan. Tetapi, membina Baitul Muslim itu bermula dengan kita membina diri kita sendiri ke arah apa yang ALLAH redha.
Itulah maksud membina Baitul Muslim yang sebenarnya. Bermula dengan diri kita.
Barulah kita ada kekuatan untuk membina keluarga yang diredhai ALLAH SWT, mendidik pasangan kita ke jalanNya, membimbing anak-anak di atas keredhaanNya, sekaligus menjadikan keluarga kita keluarga yang ALLAH SWT suka.
Sebab itulah, kata orang, tarbiyah(pendidikan) anak-anak itu bermula semenjak kita masih belum berkahwin lagi. Sebab, mentarbiyah diri kita juga adalah sebahagian dari perjalanan kita mendidik anak-anak kita.
Akhirnya, Baitul Muslim ini, bukanlah satu konsep cinta dua insan. Tetapi, Baitul Muslim ini adalah satu konsep untuk membina ummah. Pembinaan ummah, bermula dari diri kita sendiri.
Maka, apa lagi yang kalian tunggu?
Bergeraklah membina diri, persiapkan diri dari hari ini, untuk melakar masa hadapan yang indahnya abadi.
http://ms.langitilahi.com
Temanku,
Kau tidak bodoh andai engkau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau redha, sabar dan terus berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita,
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau sia-siakan amanah berharga..
Temanku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang.
Dan tidak pernah berkesudahan,
Sekali kau terjatuh,
Jangan kau biarkan dirimu jatuh selamanya,
Kau punya kekuatan untuk bangkit semula,
Dan mara berlari kencang,
Mencipta taufan..
Berjuanglah temanku,
Tanpa mengenal penat dan jemu,
Biar hidup kita derita dengan usaha,
Kelak kita akan dimulia,
Jika tidak di dunia,
Nun di SYURGA…
Buat renungan adik-adik remaja diluar,renungkanlah..
Disebalik hijabmu terselindung wajah yang penuh dengan Nur..
Hati yang sentiasa mengingati mati..
Yang mencintai Allah dan rasul dan yang taat kepada kedua ibu bapa mu..
Kau pertahankan hijabmu meskpun dunia memandang dengan penuh kehinaan, tetapi ketahuilah..
Sesungguhnya Allah melihatmu penuh dengan kebanggaan..
Saban ketika, gerak gerimu ku perhatikan..
Akhlakmu yang terperlihara dari segala noda,
Maruahmu yang kau jaga dari sebarang nida
Dan yang paling melembutkan hati...
Tutur bicaramu melambangkan sifat keibuan sejati.
Bila bertembung dengan jejaka yang bukan muhrimmu, Kau tunduk memandang bumi...
Mengingatkan ku tentang firman allah swt:
"Wahai wanita–wanita yang beriman tundukkanlah pandanganmu apabila terpandang lelaki ajnabi supaya tidak berlaku zina hati dan boleh membawa kepada zina besar.. Sesungguhnya Allah amat
pengasih lagi maha penyayang ,"
Juga meningatkan aku kepada Amirul
Mukminin di zaman Rasulullah saw..
Siti Aisyah isteri tercinta dan Fatimah puteri tersayang..
Gadis solehah...
Kau ibarat permata berharga yang sentiasa digilap...
dibalut dan disimpan ditempat yang selamat.
Kau juga diibaratkan gagak putih yang dikelilingi gagak hitam.
Siangmu sibuk dengan urusan duniawi namun tika malam menjelang,
Kau perhambakan diri sepenuhnya kepada Ilahi, beribadat...
bibirmu berzikir mentilawah Al-quran, tahajjud , witir dan amalan-amalan istiqamahmu.
Jauh disudut hatiku aku bangga dengan Imanmu, Taqwamu, Akhlakmu, Amalanmu, Hijabmu
dan perjuanganmu menegakkan kalimah Allah.
Gadis solehah...
Sebelum mengakhiri coretanku ...
kutitipkan firman Allah swt buatmu...
"Sesungguhnya perempuan yang solehah untuk lelaki yang soleh dan yang jahat pula
untuk perempuan yang jahat."
Kekalkan hijabmu hingga keakhir hayatmu...
Kau idaman lelaki beriman..
Sebaik-baik wanita adalah wanita solehah...
dan wanita solehah itu adalah perhiasan kepada dunia...
p/s: Selamat hari wanita sedunia..=)
Munsyid : Wirdani
http://liriknasyid.com
Ketika terbuka mata seluasnya
Menyusur terang gelap cahaya
Cabaran menanti di sana
Arah hidup perlu jelas
Berpandu arah tujunya
Berbekal keazaman yang
Tersemat di jiwa
Pahit manis suka duka
Adalah permainannya
Kejayaan menanti di sana
Jalan mujahadah itu
Berliku-liku haluannya
Terkadang terpaksalah
Melawan arusnya
Dengan ketabahan hati
Cerahlah jalan mengharungi
Cabaran kehidupan
Di alam remaja
Perlu teguh pendirian
Berteraskan kebenaran
Iman dan taqwa landasannya
Saban tahun umat Islam di Malaysia meraikan sambutan Maulidurrasul. Pelbagai cara yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).Antaranya ialah perarakan, ceramah, kuliah-kuliah di surau dan masjid. Namun begitu, sejauhmanakah keberkesanan kepada umat Islam di Malaysia? Jika kita perhatikan, sejak akhir-akhir ini, maksiat semakin berleluasa. Kes buang anak sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Masalah gejala sosial semakin dahsyat dan menggila. Justeru, adakah kita benar-benar menghayati Maulidurrasul?Adakah kita benar-benar menghayati perjuangan Rasullullah s.a.w.?Tepuk dada tanyalah iman.
Semoga Maulidurrasul pada kali ini dapat meningkatkan lagi kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhamammad s.a.w. yang amat kita rindui. Sudahkah anda berselawat hari ini? Jom kita berselawat...
SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.
Merujuk kepada rencana bertajuk "Kaedah hukuman sebat di Mahkamah Syariah" oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006), pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.
Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 125.
Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 125.
Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:
Seksyen 125 - Hukuman sebat
1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.
2. Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:
a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah "adil dan matang".
e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.
4. Dalam hal pesalah dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.
5. Jika pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu - oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau apa-apa sebab lain - tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan munasabah.
Seksyen 126 - Masa melaksana hukuman
Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.
Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.
Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi panduan cara pelaksanaannya.
Jika menggunakan rotan atau ranting kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya.
Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.
Ini kerana hukuman tersebut bukan bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari Zaid bin Aslam. "Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu Baginda meminta tongkat lain.
Apabila yang kedua dibawa kepadanya, tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat tongkat itu.
Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan tujuannya.
Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: "Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak."
Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: "Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.''
Mengenai bahagian yang disebat, Imam Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti membahayakan orang yang disebat.
Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya."
Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.
Ketika disebab, pesalah mesti memakai pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh pesalah. Ini berdasarkan riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan."
Bagi pesalah hamil, hukuman mesti dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit, pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.
Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.
Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat. Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.
Hukuman sebat juga hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.
Pelaksanaannya pula hendaklah di depan sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 2: "Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman."
Sementara itu, kertas kerja bertajuk "Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes jenayah syariah: satu pandangan" oleh Masran Muhamad pula membezakan hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.
1. Saiz Rotan
Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.
2. Pemeriksaan Kesihatan
Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.
3. Pelaksanaan Hukuman
Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai Sebat Rotan beragama Islam.
4. Bahagian Anggota yang Disebat
Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian.
5. Cara Sebatan
Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit.
6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat
Bagi pesalah jenayah, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.
7. Baki hukuman sebat yang dihentikan
Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.
8. Orang yang boleh disebat
Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.
9. Saksi-saksi
Bagi pesalah jenayah, tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.
Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.
Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.