Sesungguhnya Allah Mengasihi Orang Yang Berjuang di JalanNya...


1/30/2010 08:28:00 PM

Selama ini kita sering diceritakan tentang kehebatan Mahasiswa zaman Anwar Ibrahim yang berani dan kebangkitan Mahasiswa Islam diera tahun-tahun 80-an. Namun tahun ini kebangkitan Mahasiswa yang berlaku dikebanyakan kampus tidak kurang hebatnya.

Walaupun mereka orang-orang muda, tetapi jiwa mereka cukup dewasa untuk mengenal erti hak dan tanggungjawab perjuangan. Sudah lama tidak mendengar Polis dipanggil ke dalam kampus untuk menghalang demontrasi Mahasiswa.

Apa yang berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sangat menarik kerana disana jelas sudah berbunga erti demokrasi. Walaupun ada usaha menghalang, namun demontrasi menentang keputusan Pilihanraya Kampus bagi dua Fakulti yang sepatutnya dimenangi oleh Pro-Mahasiswa telah berjaya membuka mata ramai pihak.

Jelas Mahasiswa yang hadir adalah golongan yang peka terhadap hak mereka, dan saya puji sikap berani mereka untuk nyatakan kebenaran walaupun dihalang dengan Polis dan pasukan FRU.

Pada pilihanraya kali ini membuktikan pelbagai macam korupsi dan penipuan yang dilakukan oleh pihak pentadbiran demi memastikan kemenangan berpihak kepada Pro-aspirasi. Namun begitu, saya agak tertanya-tanya mengapakah pilihanraya kampus UKM diadakan secara serentak dengan kampus-kampus lain seperti UM, UPSI, UTM dan beberapa kampus lain. Pasti ada 'udang disebalik batu' yang disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu.

Kumpulan Pro-Mahasiswa (GMUKM) yang hanya memperoleh 15 kerusi. Calon Pro-Aspirasi menang 19 kerusi manakala calon bebas 1 kerusi.




1/16/2010 02:34:00 AM



Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-

· Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.

Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.



· Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-



a- Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b- Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c- Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook.

d- Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e- Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

f- Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan.



Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui facebook itu.

Sekian,

1/05/2010 11:59:00 PM

Kenyataan tokoh ulama PAS Datuk Dr Haron Din - yang mengaitkan sokongan kepada keputusan mahkamah kes kalimah 'Allah' boleh membawa kepada kekufuran - dipertikaikan.

Membidas pengamal perubatan Islam itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Dr Haron patut memberikan pandangan yang rasional dan tidak menafsirkan dengan salah pendapat orang lain.

"Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka?

"Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?" kata bekas mufti Perlis.

Sementara ahli majlis syura PAS, Ahmad Awang pula berpendapat isu akhidah dan keputusan mahkamah merupakan dua hal yang berbeza sama sekali.

"Kefahaman bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk orang Islam sahaja, saya percaya (kefahaman) itu lagi sesat.

“Sedangkan Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia,” katanya, sewaktu diminta mengulas pandangan timbalan mursyidul am PAS.

Dr Haron hari ini dilaporkan berkata umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – membenarkan mingguan Katholik Herald The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya – boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau dipetik berkata, menurut kaedah ilmu akidah, bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh Kristian membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai konsep tritunggal (trinity).

Usaha mendapatkan penjelasan lanjut Dr Haron setakat ini belum berhasil.

ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata kenyataan Dr Haron itu bertentangan dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri berhubung perkara yang sama.

"Hendak mengkafirkan orang bukan senang. Parti beliau sendiri kata golongan bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah.

"Keizinan menggunakan nama Allah juga telah digunakan sejak zaman nabi. Dalam perjanjian dengan Quraish (perjanjian Hudaibiah), nabi tulis nama Allah," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataannya semalam berkata, berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya dibenarkan kepada penganut agama Kristian dan Yahudi.

Bagaimanapun, Abdul Hadi juga berkata, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Dr Mohd Asri sekali lagi menekankan keperluan mewujudkan satu panduan atau undang-undang berhubung penggunaan kalimah tersebut bagi mengelakkan berlakunya sebarang provokasi.

Sementara Ahmad pula menyifatkan keputusan mahkamah 31 Disember lalu mempunyai hikmah supaya umat Islam memantapkan lagi kepercayaan dan kefahaman tauhid masing-masing.

Selain itu, bekas pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, bagi mengelakkan penggunaan kalimat tersebut secara salah, beliau mencadangkan pendekatan undang-undang dan dialog antara agama.